Format One in a Million (musim 1)

Musim pertama One in a Million bersiaran sejak Mei hinggga 22 September 2006.

Uji bakat diadakan di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur pada bulan April 2006. Para penguji bakat menyanyi di hadapan dua orang pengkritik. Peserta yang memuaskan hati para pengkritik dilayakkan ke tahap seterusnya. Peserta yang mutu bakatnya kurang dipastikan oleh pengkritik akan diletakkan di bawah kategori maybe di mana mereka membuat persembahan semula kepada pengkritik.

Para peserta yang layak ke tahap "Central Elimination", akan dipisahkan kepada kumpulan lelaki dan perempuan; kumpulan perempuan mula dahulu. Dalam kumpulan itu, para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang setiap satunya terdiri kepada lapan orang dan hanya empat daripada setiap kumpulan kecil itu layak ke pusingan seterusnya. Peraturan yang sama ditaklukkan kepada kumpulan lelaki dan hanya 40 orang peserta mara ke pusingan seterusnya.

Kemudian, 40 peserta itu melalui dua lagi pusingan penyingkiran yang digelar 'Blind Test' dan 'Style/Presentation Test'. Dalam 'Blind Test', para peserta perlu menyanyi di sebalik sehelai layar lutcahaya. Dalam ujian 'Style/Presentation' pula, dua orang juri undangan turut menilai gaya dan penyampaian para peserta. Hanya 20 peserta mara ke pusingan penyingkiran awal.

20 peserta itu kemudiannya disusun menurut prestasi terdahulu mereka. Peserta yang ditempatkan dalam 10 Teratas mendapat peluang untuk memilih salah seorang daripada peserta 10 Terbawah untuk bersaing dengan nyanyian. Peserta berkedududkan nombor 1 Suki tersingkir setelah menyaingi peserta nombor 11 Alif sementara peserta nombor 3 Zai tersingkir setelah memilih untuk menyaingi peserta nombor 20 Ameen.

Pada minggu berikutnya, The Second Chance Show diadakan untuk memberi peluang kedua untuk 10 orang peserta yang tersingkir dalam pusingan penyingkiran awal untuk meraih dua tempat terakhir dalam Top 12. Suki menjadi pilihan Malaysia melalui undian penonton manakala Zai dipilih oleh para juri.

Episod istimewa berjudul Circle of 12 disiarkan tanpa menampakkan apa-apa penyingkiran. melalui inilah penonton dapat mengenali lebih lanjut mengenai peserta Top 12 dan sebab-sebab peserta tersebut harus diundi, disertakan juga babak imbasan semula setiap peserta.

Pada tahap kemuncak, peserta Top 12 perlu memilih sebuah lagu yang perlu diyanyikan mereka di hadapan penonton dalam studio (Sri Pentas 2) dan di hadapan kaca TV melalui siaran langsung. Episod-episod dan sedutan khas One in a Million juga dirakam dan dimuat naik ke dalam laman web rasminya untuk tatapan penonton yang mungkin terlepas siaran asalnya. Pada penyingkiran yang pertama dalam Top 12, dua peserta telah disingkirkan. Selepas itu, seorang peserta disingkirkan setiap minggu. Pusingan akhir diadakan pada 22 September 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Suki dinobatkan sebagai juara yang meraih Sejuta Ringgit manakala Faizal dan Alif masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. pada permulaan rancangan pusingan akhir, Marion Caunter dan Awal Ashaari mengumumkan bahawa Faizal meraih jumlah undian terendah sepanjang minggu terakhir, namun beliau diberi satu lagi peluang untuk bersaing untuk hadiah utama sebagai sebahagian daripada kejutan yang pernah diumumkan sebelum ini, iaitu rancangan tidak berlakunya penyingkiran seperti biasa.